ABD Manap membawa pelancong Jepun melawat di sekitar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Shah Alam: Jika warga emas seusianya yang lain selesa menghabiskan masa berehat di rumah bersama keluarga, Abd Manap Said, 84, pula masih bersemangat untuk turun padang demi menyebarkan syiar Islam.

Sukarelawan pemandu pelancong Masjid Negeri Selangor Guide (MNSG) paling tua itu masih aktif berdakwah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, sejak 10 tahun lalu.

Mantan pensyarah Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia sentiasa bersemangat untuk memberikan penerangan dan pemahaman mengenai Islam yang sebenar kepada pelancong bukan Muslim.

Berikutan itu, biarpun memasuki usia emas dia mahu terus berada di barisan hadapan MNSG dan berdakwah mengikut caranya tersendiri.

“Selagi ada keupayaan saya terus menyebarkan Islam, sebenarnya usia bukan satu masalah besar atau membataskan dakwah mahu dilakukan.

“Kami bukan mahu mereka (pelancong asing) terus memeluk Islam, cuma tunjuk jalan dan beri penjelasan mengenai agama suci ini. Kami hanya mahu buka hati mereka sahaja dan yang lain serahkan kepada kekuasaan Allah SWT.

“Apa yang membuatkan saya gembira melakukan kerja ini ialah apabila selesai saja sesuatu sesi penerangan lawatan bersama pelancong, saya dapat berkongsi sedikit ilmu sekurang-kurangnya mereka ada pengetahuan tentang dunia Islam dalam erti kata sebenar,” katanya ketika ditemui, semalam.


ABD Manap

Menurutnya, sepanjang 10 tahun bersama MNSG, dia bukan saja berasa puas dapat memberikan pemahaman mengenai Islam kepada pelancong bukan Muslim, malah kesempatan itu digunakan untuk menguasai beberapa bahasa asing.

“Saya berpeluang menguasai bahasa Jepun dan Mandarin selepas mengikuti kursus anjuran MNSG. Bahasa Jepun penting kerana masjid ini menjadi destinasi persinggahan popular dalam kalangan pelancong dari negara matahari terbit itu.

“Bahasa Mandarin juga tidak kurang pentingnya kerana ia memudahkan kami berkomunikasi dengan pelancong dari Hong Kong dan Taiwan,” katanya.

Abd Manap berkata, dia menerima maklum balas positif daripada pelancong apabila mereka menunjukkan minat mendalam mengenai Islam.

“Lima tahun lalu, seorang pelancong Jepun yang saya kendalikan memeluk Islam namun saya tidak berpeluang menyaksikan hari bersejarah pengislamannya kerana dia mahu mengucapkan dua kalimah syahadah di depan ibu bapanya di Jepun.

“Ada juga beberapa orang Eropah berminat dengan Islam namun mereka belum bersedia mengucapkan dua kalimah syahadah,” katanya.


WARGA Jepun bersama isteri ketika melawat Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Seorang lagi sukarelawan MNSG Safiya Yuko Ikeda, 43, berkata, pendedahan diberikan MNSG mengubah persepsinya mengenai Islam.

Menceritakan kisahnya Safiya berkata, pendedahan awal mengenai Islam diterima ketika menghadiri kursus dianjurkan di Jepun pada 2010.

“Ketika itu saya ditemani suami dan kami belum lagi berkahwin. Saya ketika itu baru belajar kenal Islam. Mujur saya berkenalan dengan seorang wanita mualaf Jepun di Pusat Kebudayaan Islam di Kyoto. Dia dan suami banyak beri nasihat serta pendedahan mengenai Islam. Setahun kemudian saya ambil keputusan memeluk Islam.

“Rasa cinta terhadap Islam semakin menebal selepas saya menyertai MNSG. Sebenarnya sejak kecil saya sering dimomokkan dengan maklumat negatif tentang Islam terutama pengganas hingga membuatkan saya takut,” katanya.


SAFIYA Yuko Ikeda

Safiya berkata, pada mulanya dia tidak berminat menyertai MNSG berikutan belum fasih bertutur bahasa Melayu selain pengetahuan mengenai Islam masih cetek.

Namun, selepas mengikuti pelbagai kursus dan bergaul dengan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang dia berasa seronok, malah pada 2013 dia menjadi guru bahasa Jepun untuk MNSG.

Katanya, kelebihan sebagai orang Jepun yang berkahwin dengan rakyat Malaysia beragama Islam memudahkan dirinya mendekati pelancong daripada negara matahari terbit itu.


PELANCONG warga Jepun memberi sumbangan ketika mengadakan lawatan di masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 7:55 AM