Zanariah Abd Mutalib


MAHKAMAH Majistret hari ini membebaskan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang direman sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membenarkan lelaki bergelar Datuk itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjumlah RM20,000 di Mahkamah Majistret di Putrajaya.

Jurucakap SPRM berkata, mahkamah turut mengarahkan lelaki itu menyerahkan pasportnya kepada SPRM dan melaporkan diri di ibu pejabat SPRM di Putrajaya setiap bulan sehingga siasatan kes itu selesai.

Lelaki itu sebelum ini direman selama tujuh hari bermula Isnin lalu bagi membantu siasatan kes 1MDB. Dia adalah individu pertama yang direman bagi siasatan kes berkenaan.

Lelaki itu dikatakan memegang jawatan pengarah di syarikat yang dipercayai menerima wang transaksi daripada 1MDB.

Dia dikatakan berkhidmat dengan Najib sejak 2009.

Berita berkaitan:

1MDB: Bekas pegawai khas Najib direman

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 12:19 PM