AILEYA Syafiera (kiri) yang menghidap penyakit kanser otot di samping kakaknya, Nurhafizah, 7, menerima rawatan.
Khalid Latip

Mukah: “Setiap kali melihat anak bergelut menahan kesakitan, perasaan saya dan isteri bagai direntap. Kami hanya mampu menahan kesedihan dalam hati,” kata Haslimi Hassan, 42.

Anak perempuan Haslimi, Aileya Syafiera, 2, kini terpaksa ‘berperang’ dengan kesakitan akibat kanser otot yang dihidapinya di belakang paha kanan sejak April lalu.

Haslimi berkata, keadaan kesihatan yang tidak menentu anak bongsunya menyebabkan tidur kanak-kanak itu sering terganggu terutama pada malam kerana kerap terjaga dari tidur disebabkan tidak dapat menanggung kesakitan.

“Setiap kali melihat Aileya menangis menahan kesakitan, saya dan isteri hanya mampu memberikannya kata semangat, selain berdoa agar penyakitnya itu dapat pulih segera.

“Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak sekecil itu menanggung derita sebegitu, namun kami sedaya upaya berusaha untuk memastikan apa saja penawar dapat diberikan asalkan kanser itu dapat dipulihkan,” katanya.

Haslimi bersama isteri Khatizah Azmi, 30, tidak menyangka puteri kesayangan mereka itu menderita kanser otot tahap dua kerana anaknya itu baru dikesan mengalami bengkak di belakang paha kanan April lalu.

Katanya, selepas melihat bengkak semakin serius, mereka membawa Aileya untuk pemeriksaan lanjut di Hospital Daro sebelum kes dirujuk ke Hospital Sibu.

“Tidak lama selepas itu, Aileya dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching dan pakar mengesahkan dia menderita kanser otot tahap dua,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringan beban Haslimi boleh menghulurkan sumbangan ikhlas menerusi Agro Bank Haslimi Hassan di nombor akaun 2-00-6842-00001524-4.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 9:56 AM