PENGERUSI Amanah Negeri, Zulkefly Mohamad Omar mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang baharu pada persidangan pertama (KHAS) penggal pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan kali ke 14 di Wisma Negeri. FOTO Hazreen Mohamad
Nur Aqidah Azizi


PENGERUSI Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, hari ini.

Zulkefly adalah satu-satunya nama yang dicadangkan oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun untuk jawatan itu dan cadangan itu disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teoh Kok Seong ketika Mesyuarat Pertama Khas DUN hari ini.

Zulkefly, yang memiliki ijazah Sarjana dalam Sains Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Komunikasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkhidmat sebagai pegawai kanan di beberapa syarikat serta pensyarah sambilan di UiTM dan Infrastructure University Kuala Lumpur.

Selain menjadi Pengerusi Amanah negeri, beliau juga adalah ahli jawatankuasa pusat parti berkenaan.

Jawatan Timbalan Speaker juga diperkenalkan buat kali pertama dalam sidang khas DUN Negeri Sembilan kali ini yang menyaksikan ADUN Seri Tanjung, M Ravi dilantik untuk jawatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 12:12 PM