UPACARA akad nikah antara peraih getah berusia 41 tahun dengan kanak-kanak 11 tahun. FOTO Tular
Nor Akmar Samudin


PELBAGAI pihak menggesa siasatan dan tindakan diambil susulan pernikahan kanak-kanak 11 tahun dengan pasangan lelaki berusia 41 tahun yang terus mendapat perhatian masyarakat sebaik saja berita perkahwinan itu tular di Facebook selepas dimuat naik oleh isteri kedua lelaki terbabit, sejak minggu lalu.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang dalam kenyataannya mendesak Jabatan Agama Islam Kelantan segera menyiasat mereka yang turut terbabit dalam pernikahan itu untuk didakwa di mahkamah.

Tegas Musa, secara asasnya mereka yang terbabit dalam pernikahan itu sudah melakukan banyak kesalahan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 2002 iaitu kesalahan menikahkan anak bawah umur tanpa kebenaran mahkamah, bagi bapa atau wali pengantin 11 tahun itu.

“Kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah bagi pasangan lelaki 41 tahun terbabit dan kesalahan bersubahat bagi semua pihak yang hadir pada majlis itu termasuk ibu, bapa, saksi dan ejen yang membawa mereka bernikah di Selatan Thailand.

“Setiap kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan, atau kedua-duanya denda dan penjara,” katanya.

Kata Musa lagi, PGSM melihat apa jua alasan yang diberikan, tindakan mereka sebenarnya sudah mencabar undang-undang dan institusi Islam termasuk Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam Negeri Kelantan.

Jelas Musa, PGSM juga berpandangan sudah sampai masanya kerajaan-kerajaan negeri mempertingkatkan hukuman denda dan penjara bagi kesalahan menikahkan anak bawah umur dan kesalahan berpoligami tanpa kebenaran, daripada denda RM1,000 kepada denda maksimum sebanyak RM5,000 atau daripada enam bulan penjara kepada tiga tahun penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 12:30 PM