TERTUDUH (tengah) didakwa atas pertuduhan membunuh anak saudaranya di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mahzir Mat Isa
Farah Marshita Abdul Patah


PENGANGGUR didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas tuduhan membunuh anak saudaranya berusia tiga tahun, yang mayatnya ditemui dengan 59 kesan tikaman di seluruh badan, dua minggu lalu.

Goh Jie Kiet, 21, hanya menjawab faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, yang dilihat mendiamkan diri dan tunduk sepanjang prosiding.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Jie Kiet didakwa membunuh kanak-kanak berusia tiga tahun 11 bulan itu di sebuah rumah di Taman Kepong, Kuala Lumpur antara jam 7 malam dan 8 malam, pada 18 Jun lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, K Vasugi, memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan bedah siasat.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 September ini untuk sebutan semula kes.

Berita berkaitan

Lelaki tikam budak 30 kali didakwa Isnin depan

Budak maut ditikam 30 kali

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 1:36 PM