Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO NSTP
Wartawan NSTP


TIGA lagi menteri akan dilantik di dalam Kabinet kerajaan menjadikan keseluruhan 29 menteri berbanding 26 yang telah diisi ketika ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketiga-tiga calon menteri itu bagaimanapun perlu dilantik menjadi senator terlebih dahulu sebelum menjadi menteri.

"Mereka perlu diangkat menjadi senator dahulu sebelum angkat sumpah.

"Selagi kita tak ada acara mengangkat sumpah menjadi senator tak boleh (menjadi menteri)

"Kesemuanya ada 29 menteri. Tadi 26 menteri sudah dilantik, akan ada tiga lagi menteri bakal dilantik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas upacara mengangkat sumpah bagi jawatan 13 Menteri dan 23 Timbalan Menteri di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya apakah pesannya kepada jemaah kabinet baharu dilantik, Dr Mahathir berkata, beliau akan bertemu dengan mereka serentak untuk menyampaikan amanatnya.

"Saya akan jumpa mereka dan akan bagi 'short lecture', tapi biasanya saya panggil seorang demi seorang untuk bercakap tentang tanggungjawab masing-masing," katanya.

Pada 10 Mei lalu, Dr Mahathir, 92, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, sehari selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan tamatnya pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, kemudian mengangkat sumpah mengetuai barisan 13 anggota Kabinet pada 21 Mei lalu.

Upacara mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara hari ini pula menyaksikan pelantikan 13 Menteri dan 23 Timbalan Menteri menjadikan keseluruhan 26 menteri telah dilantik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 3:12 PM