ANTARA bekas pelajar SESMA yang hadir pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun SESMA ke-45 di Kuala Nerus. FOTO Media MB Terengganu
Aslina Abu Bakar


PASTI sukar melupakan alam persekolahan kerana zaman itulah yang membentuk diri masing-masing.

Sebagai mengenang jasa pihak sekolah memberikan didikan dan ilmu, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) tidak lokek menyumbangkan RM100,000 untuk 20 unit pendingin udara bagi dewan sekolah dan pembelian van serta mengisi tabung kebajikan.

Malah mereka berikrar untuk menambah jumlah sumbangan sebanyak RM100,000 lagi.

Sumbangan itu dikutip Alumni SESMA yang berkumpul bagi meyambut ulang tahun ke-45 sekolah berprestasi tinggi itu baru-baru ini.

Setiausaha Agung Alumni SESMA, Mohd Asri Yusof berkata, program Hujung Minggu di SESMA itu diadakan tiga hari yang dijayakan bersama bekas pelajar.

"Yang menyeronokkan, kami kembali ke asrama untuk mengimbau kenangan lalu dan berinteraksi dengan guru serta pelajar di dalam pelbagai aktiviti.

"Kami juga menjalankan sesi motivasi kerjaya bersama pelajar dan penyerahan sumbangan alumni kepada SESMA dalam program sukan iaitu 'batting cage' kriket bernilai RM35,000.

"Kemuncak sambutan ialah Majlis Makan Alumni 2018 yang berjaya mengumpulkan sebahagian daripada bekas pelajar dan guru sepanjang penubuhannya dengan kehadiran 920 orang," katanya.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (empat kanan) ketika Majlis Makan Alumni SESMA 2018. FOTO Media MB Terengganu

Hadir sama ke majlis berkenaan, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim; bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong yang juga Presiden Alumni SESMA; Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Pengkalan Kundor Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusoff.

Mohd Asri berkata, perhimpunan itu adalah yang terbesar diadakan selepas majlis serupa pada 2013.

"Bagaimanapun, kerana kekangan saiz dewan hotel menghalang kami daripada menjemput 1,500 alumni pada tahun ini untuk bersama dalam majlis yang turut dimeriahkan dengan persembahan Wind Orchestra SESMA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 7:57 PM