ORANG awam turut membantu mangsa. FOTO Ihsan APM
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


PESAKIT wanita, 60-an, yang menaiki ambulans maut apabila kenderaan itu bertembung dengan sebuah kereta di Lebuhraya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur, kira-kira 7 malam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, ambulans dinaiki mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Bulatan Pahang menghala ke arah Parlimen.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, ambulans itu bertembung dengan sebuah Perodua Myvi.

“Pesakit yang dibawa oleh ambulans berkenaan disahkan maut dalam kemalangan itu,” katanya.

Beliau berkata, terdapat tujuh mangsa dalam kemalangan ini membabitkan pemandu kereta, pemandu ambulans bersama masing-masing seorang pembantu perubatan dan doktor.

“Selain itu, tiga penumpang termasuk pesakit wanita berkenaan di dalam ambulans terbabit.

“Lima mangsa lain menaiki ambulans berkenaan yang turut cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 9:30 PM