Fairuz Zaidan


LEBIH 200 Ahli Jawatankuasa dari 64 cawangan UMNO Bahagian Masjid Tanah, malam semalam menandatangani memorandum mendesak Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin supaya meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah, berkuat kuasa serta-merta.

Memorandum itu ditandatangani seluruh kepemimpinan di peringkat Bahagian dan Cawangan UMNO Bahagian Masjid Tanah termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Sebelum itu, satu mesyuarat tertutup selama lebih sejam yang dipengerusikan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh diadakan,

Mereka mempamerkan kemarahan suara di peringkat akar umbi sekali gus mendesak bekas Ketua Puteri UMNO itu meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah.

Ia susulan kenyataan dibuat Mas Ermieyati untuk keluar UMNO, sekali gus menjadi Ahli Parlimen Bebas berkuat kuasa 1 Julai lalu.

“UMNO Bahagian Masjid Tanah atas dasar prinsip, keadilan dan perjuangan memohon supaya Yang Berhormat (YB) Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang sudah menjadi wakil rakyat Bebas untuk tidak mengkhianati mandat diberikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ia terutama kepada petugas pilihan Raya Barisan Nasional (BN), penyokong dan pengundi yang membawa kepada kemenangan YB di kawasan Parlimen Masjid Tanah,” menurut memorandum berkenaan.

Memorandum itu turut menyatakan UMNO bahagian terbabit berasa kecewa dan terkejut dengan tindakan pemimpin berkenaan yang jelas menipu pengundi selepas memberikan kemenangan besar kepadanya, termasuk di semua lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen itu.

Berita berkaitan

UMNO sudah 'tergelincir' - Mas Ermieyati

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 12:09 PM