Mohd Husni Mohd Noor dan Teoh Pei Ying dan Suhaila Shahrul Annuar


BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa bermalam di lokap ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini sebelum didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok.

Najib bakal menghadapi pertuduhan berkaitan SRC International Sdn Bhd yang juga anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum itu, Najib ditahan oleh SPRM, 2.35 petang tadi di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur dan tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 3.35 petang.

Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan Najib dan berkata, bekas Perdana Menteri itu akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, 8.30 pagi esok.

Siasatan kes berkenaan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM.

Dalam pada itu, sumber berkata, Najib tiba di SPRM dengan menaiki Proton Inspira merah selain diiringi empat kereta lain.

Difahamkan, kereta yang membawa Najib terus menuju ke tempat letak kereta bawah bangunan tanpa melalui lobi bangunan SPRM.

Najib difahamkan terus dibawa ke bahagian lokap SPRM yang terletak di aras bawah bangunan.

Berita berkaitan

Najib tiba di SPRM Putrajaya

Najib didakwa esok

Najib Razak ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 6:06 PM
PUTRAJAYA 03 JULAI 2018. Sebahagian dari media menunggu di perkarangan bangunan SPRM berikutan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat Langgak Duta. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH