PENYOKONG Najib menyalakan lilin di luar bangunan SPRM. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Suhaila Shahrul Annuar


PENAHANAN Datuk Seri Najib Razak dan menempatkannya dalam lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam ini disifatkan sebagai cubaan untuk menjatuhkan moral bekas Perdana Menteri itu.

Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam turut mempersoalkan keperluan pihak Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SPRM menahan Najib malam ini sedangkan beliau sudah memberi kerjasama kepada suruhanjaya itu untuk siasatan sebelum ini.

“Apa keperluan pihak SPRM menahan beliau dan memaksanya tidur di lokap malam ini. Tidak lain tidak bukan supaya moral beliau jatuh dan akhirnya mengalah. Kenapa aniaya beliau?

“Adakah beliau penjenayah yang ingin melarikan diri daripada proses perundangan? Bukankah sebelum ini beliau memberi kerjasama penuh untuk hadir ke SPRM tanpa sebarang masalah?

“Tidak bolehkah guna cara sama yang digunakan SPRM sebelum ini untuk mengundang Najib ke mahkamah bagi proses pendakwaan?” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 100 penyokong yang berkumpul di perkarangan Ibu Pejabat SPRM di sini sebagai tanda solidariti kepada Najib.

Mereka mula berkumpul sejak jam 8.45 malam sebagai tanda solidariti kepada Najib.

Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan tangkapan dibuat terhadap Najib berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Kenyataan itu turut menyebut Najib akan dituduh jam 8.30 pagi esok di Mahkamah Kuala Lumpur.

Penyokong Najib berhimpun

Najib mungkin hadapi 10 pertuduhan

Najib bermalam di lokap SPRM

Najib tiba di SPRM Putrajaya

Najib didakwa esok

Najib Razak ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 10:59 PM