Mohd Azam Shah Yaacob

ANAK kucing yang terperangkap di atas jejambat Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) setinggi sembilan meter di Taman Datuk Senu, Kuala Lumpur diselamatkan anggota bomba, Ahad lalu.

Difahamkan, anak kucing berkenaan sudah tiga hari terperangkap di atas jejambat berkenaan dan disedari seorang penduduk yang kemudian meminta bantuan bomba untuk menyelamatkannya.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Fadil Hesam Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.05 tengah hari dan tiba di lokasi pada jam 1.19 tengah hari.

Katanya, sebaik sampai, pihaknya mengesan anak kucing yang terperangkap di atas jejambat setinggi sembilan meter.

“Kedudukan anak kucing yang terperangkap itu memang agak tinggi dan kami terpaksa menggunakan tangga yang dipasang di atas jentera bomba bagi menyelamatkannya.

“Pasukan bomba berjaya menyelamatkan kucing berkenaan 20 minit kemudian selepas berjaya mengesan lokasi sebenar ia terperangkap,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Fadil, pihaknya berasa pelik bagaimana anak kucing berkenaan boleh terperangkap di atas jejambat itu kerana tiada laluan untuk naik ke situ.

Katanya, selepas diselamatkan anak kucing itu diserahkan kepada pemanggil berkenaan yang berminat untuk membelanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 12:38 AM
ANGGOTA Bomba menyelamatkan anak kucing yang tersangkut.