Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@nstp.com.my


DATUK Seri Najib Razak didakwa dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM42 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Bekas Perdana Menteri yang memakai kot berwarna biru dan berseluar biru gelap kelihatan tenang ketika empat pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagi tuduhan pertama, Najib sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan didapati menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila mengambil bahagian dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri Presint 1, Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012 di Pejabat Perdana Menteri Presint 1, Putrajaya di dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Dalam tuduhan kedua, Najib sebagai penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan Malaysia serta Advisor Emeritus SRC International, dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion didapati melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Kesalahan didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad Bangunan Ambank Group di No 55, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Oleh itu, beliau boleh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda.

Manakala, dalam pertuduhan ketiga, Najib sebagai penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan Malaysia serta Advisor Emeritus SRC International, dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad Bangunan Ambank Group di No 55, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda.

Sementara bagi pertuduhan terakhir, Najib sebagai penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan Malaysia serta Advisor Emeritus SRC International, dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion didapati melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM10 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad Bangunan Ambank Group di No 55, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015.

Berikutan itu, beliau didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda.


LAKARAN ketika tuduhan dibacakan terhadap Datuk Seri Najib Razak. FOTO NSTP

Tiada pengakuan direkodkan daripada Najib kerana kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, sebentar lagi.

Terdahulu, Peguam Negara Tommy Thomas memohon prosiding dijalankan dalam bahasa Inggeris dan mengemukakan keizinan mendakwa mengikut Seksyen 58 Akta SPRM.

Kesemua tuduhan bagaimanapun dibacakan dalam bahasa Malaysia.

Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin kemudian membenarkan permohonan pendakwaan bagi kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 9:36 AM