ANTARA bakal jemaah haji dari Negeri Sembilan yang megikuti Kursus Perdana Haji Musim 1439H/2018M Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, USIM. Foto STR/ADZLAN SIDEK.
Rohaniza Idris


TABUNG Haji menafikan laporan portal berita mengenai kononnya kerajaan Arab Saudi akan menyekat atau mengurangkan Kuota Haji Rasmi Malaysia musim haji tahun ini.

Pengurus Besar Kanan, Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kuota haji rasmi negara kekal sebanyak 30,200 seperti tahun lalu.

Katanya, kuota haji rasmi negara ini adalah seperti ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi sebanyak 0.1 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.

“TH sudah membuat persiapan rapi terutama dari segi penginapan di Mekah dan Madinah, penerbangan, pengangkutan, sajian makanan serta penyelarasan petugas dalam usaha memastikan kebajikan jemaah terjamin sepanjang menunaikan ibadah haji,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini.

Syed Saleh menjelaskan bakal jemaah haji sudah menghadiri Kursus Perdana Haji di seluruh negara bermula minggu lalu bagi meningkatkan tahap pengetahuan jemaah berkaitan ibadah haji terutama dari segi praktikal.

Sebanyak tiga Kursus Perdana Haji lagi akan dilaksanakan minggu ini di Perlis, Zon Tengah Sarawak dan Zon Pantai Timur Sabah.

Penerbangan pertama haji akan berlepas pada 14 Julai sementara penerbangan terakhir ke tanah suci dijangka pada 14 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 11:59 AM