ZAKIR dalam satu ceramahnya di negara ini. FOTO Arkib NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob dan Fazrik Kamarudin


KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan dakwaan bahawa penceramah bebas, Dr Zakir Naik akan dihantar pulang malam ini.

Beliau berkata, setakat hari ini tiada sebarang arahan dikeluarkan berkenaan perkara itu.

"Saya nafikan sebarang laporan mengenai usaha untuk menghantar pulang beliau (Zakir) hari ini.

"Saya tidak boleh komen dengan lebih lanjut, buat masa ini, beliau (Zakir) tidak akan dihantar pulang pada hari ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, beberapa portal berita melaporkan pendakwah kontroversi itu akan dihantar pulang ke India, pada malam ini.

Pihak peguam yang mewakili Zakir kemudian turut menafikan perkara itu dalam satu lagi laporan berita.

Zakir meninggalkan India pada 2016 selepas didakwa terbabit dengan kegiatan serangan pengganas di Dhaka selain pengubahan wang haram.

Kerajaan India membatalkan pasport Zakir setelah beliau banyak kali mengabaikan permintaan untuk hadir ke Badan Penyiasatan Kebangsaan India (NIA) bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 6:30 PM