LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Rosliza Mohamed


POLIS mengesahkan sudah membuka kertas siasatan berkaitan kes seorang lelaki berusia 41 tahun yang didakwa berkahwin dengan seorang budak perempuan berusia 11 tahun.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, walaupun siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes itu, tetapi ia tetap disiasat kerana membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Menurutnya, maklumat siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur ugutan, paksaan dalam kes itu, malah pernikahan mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak.

"Namun kertas siasatan sudah dibuka dan laporan hasilnya akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Aidilfitri Peringkat Ibu Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Kisah perkahwinan seorang lelaki 41 tahun dengan budak perempuan berusia 11 tahun walaupun didakwa berlangsung di negara jiran itu mengundang reaksi sehingga mengundang pelbagai kecaman berikutan usia budak itu yang terlalu muda.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga sudah menjelaskan perkahwinan pasangan itu tidak sah kerana tidak mendapat kebenaran mahkamah.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata kes perkahwinan terbabit perlu dilihat secara holistik sama ada terdapat unsur seperti pedofilia, eksploitasi kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak.

Jelasnya lagi, sudah tiba masa untuk menaikkan had umur perkahwinan membabitkan kanak-kanak perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Berita berkaitan:

'Nikah tak dapat kebenaran pun...'

'Madu' berusia 11 tahun akui sudah baligh

[UPDATE] 'Ambo saye Abe...'

'Maduku budak 11 tahun'

[UPDATE] Perlu mohon kebenaran mahkamah

[UPDATE] Nak ikut sunnah Nabi SAW katanya...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 6:44 PM