GAMBAR hiasan.
Farah Suhaidah Othman


PENIAGA cedera di muka akibat diserang tiga lelaki dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Perpaduan Jaya Tengah, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 pagi, mangsa berusia 48 tahun mengalami lebam di bahagian bibir serta cedera di bahagian pinggang akibat diserang suspek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias berkata, kejadian berlaku ketika mangsa mahu pergi ke pasar borong bagi membeli ikan untuk dijual di pasar mini miliknya.

Beliau berkata, mangsa yang membuat laporan polis pada 7.05 pagi memaklumkan, ketiga-tiga suspek yang memakai topeng muka merempuh masuk sebaik mangsa membuka pintu rumah sebelum menyerangnya.

“Serangan itu menyebabkan mangsa jatuh sebelum seorang daripada suspek menumbuk mukanya manakala seorang lagi mengacukan parang ke lehernya dan mengugut mangsa supaya menyerahkan wang jika tidak mahu anggota keluarganya dicederakan.

“Bimbang dengan ugutan itu, mangsa menyerahkan wang perniagaan miliknya berjumlah RM20,000.

“Seorang daripada suspek turut menggeledah bilik tidur utama sebelum menemui wang tunai RM40,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rani berkata, suspek turut melarikan beg tangan milik isteri mangsa mengandungi barangan peribadi dan gelang tangan emas serta buku cek milik mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek memakai topeng muka, bersarung tangan serta membawa dua parang sepanjang 60 sentimeter (cm).

“Pemeriksaan di lokasi kejadian bagaimanapun tidak menemui sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejiranan dan mendapati suspek melarikan diri menaiki kereta Honda.

“Mangsa mengalami kerugian lebih daripada RM60,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 6:59 PM