Nur Lela Zulkipli


PASPORT milik ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada 15 Jun lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tindakan itu atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Pembatalan itu adalah mengikut peruntukan di bawah Akta Imigresen untuk menghalang pergerakan Jho Low selepas beliau dikehendaki hadir di Malaysia untuk disoal oleh pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Imigresen, di Putrajaya, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

Pada 18 Mei lalu, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, meminta Jho Low pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan berkaitan skandal 1MDB.

Daim yang juga bekas Menteri Kewangan menegaskan Jho Low adalah individu terpenting bagi membantu siasatan 1MDB.

Pada 7 Jun lalu, SPRM meminta Jho Low, 37, dan Pengarah SRC International Sdn Bhd (SRC), Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil, 47, tampil segera bagi membantu siasatan kes SRC.

Berikutan kenyataan SPRM itu, pada hari yang sama, Jho Low melalui peguamnya menyatakan kesediaan membantu siasatan 1MDB.

NSTP pada 14 Jun lalu melaporkan Jho Low muncul di Dubai dan memaklumkan sedia menjawab soalan penyiasat di negara itu. Bagaimanapun, SPRM tetap mahu beliau disoal siasat di negara ini.

Pada 19 Jun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan agensi perisikan luar negara, termasuk Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan Jho Low.

Sementara itu, Mustafar berkata, penyerahan dua pasport milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tiada kena mengena dengan pihaknya.

“Apa yang penting, beliau (Najib) masih dalam senarai hitam larangan ke luar negara. Ada pasport atau tidak, beliau tetap tidak boleh keluar Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 8:37 PM