ADLY Zahari mengadakan sidang media Mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh. -Foto RASUL AZLI SAMAD
ADLY Zahari mengadakan sidang media Mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh. -Foto RASUL AZLI SAMAD
Fairuz Zaidan


LANGKAH Kerajaan Negeri Melaka mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebagai syarat perjawatan peringkat negeri tidak harus dilihat sebagai suatu sentimen perkauman memandangkan silibus peperiksaannya diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, syarat itu adalah sebahagian dari janji Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, di samping meletakkan syarat iaitu mempunyai kredit dalam bahasa Melayu.

“Melaka adalah negeri keempat yang mengiktiraf UEC selepas Sarawak, Selangor dan Pulau Pinang.

“Jadi, ia tidak harus dijadikan isu lebih-lebih lagi syarat ditetapkan ialah kredit dalam bahasa Melayu. Secara asasnya, kita menerima UEC bukan kerana sijil peperiksaan itu saja, sebaliknya sebarang syarat perjawatan harus mempunyai latar belakang pendidikan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Mahabbah Aidilfitri di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, di Ayer Keroh, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

Isnin lalu, Adly berkata, pengambilan lulusan UEC akan dilaksanakan sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri itu, selaras sebahagian daripada manifesto PH pada PRU-14.

Dalam pada itu, PAS Melaka akan menganjurkan ‘Perhimpunan Bantah Ketua Menteri Iktiraf UEC’ di perkarangan Masjid Al Azim, selepas solat Jumaat, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 4:46 PM