PELAJAR Tingkatan Empat antara 77 pelajar yang ditahan selepas dipercayai positif ganja dalam Program Pencegahan Ponteng Sekolah Zon Utara Daerah Klang, hari ini.
Operasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Daerah Klang itu bermula 9 pagi dan berakhir 1 tengah hari.

Pelajar terbabit ditahan ketika bermain permainan dalam talian di pusat siber di sebuah pusat beli-belah di bandar Klang, sambil memakai pakaian sukan sekolahnya.

Ketika ujian saringan awal air kencing dilakukan, AADK mendapati ujian air kencing pelajar terbabit positif dadah jenis THC.

Dia mendakwa pembabitan dirinya dalam dadah jenis ganja itu bermula pada Februari lalu berikutan pengaruh daripada rakannya dan difahamkan, dia sudah dua kali menerima surat amaran berikutan gagal hadir ke sekolah.

“Saya ambil ganja apabila kawan mengajak saya. Saya ambil pun sekadar suka-suka sahaja, tak lebih daripada itu.

“Kalau kawan ajak, saya hanya join (ikut serta) sekali saja. Tak pernah pun beli. Kalau ada, adalah. Saya hanya membeli rokok sahaja,” katanya.

Pelajar terbabit kemudian diberikan kaunseling sebelum ditahan pihak AADK untuk tindakan lanjut.

Dalam operasi sama, seorang ibu tidak dapat menahan sebak ketika menjemput anaknya yang juga seorang pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah di Klang.

Wanita berusia 40-an itu sangat kecewa dengan tindakan anaknya yang ditangkap ketika sedang leka bermain komputer di pusat siber.

“Saya sanggup berhenti kerja sebab nak jaga anak. Saya tak boleh gambarkan rasa kecewa apabila terpaksa mengambil anak dalam keadaan macam ini,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Kanan Disiplin Bimbingan Kaunseling Pejabat Pendidikan Negeri Selangor, Noor Azhar Mohammed berkata, dalam operasi berkenaan pihaknya menahan 77 pelajar di sekitar sekolah di Klang.

Beliau berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan di beberapa lokasi kafe siber di sekitar pusat beli-belah di Klang.

“Selepas mereka ditahan, kami hubungi ibu bapa untuk mengambil anak masing-masing di sekolah.

“Kami turut merampas sementara telefon bimbit dan kad pengenalan dan ia hanya diserahkan selepas sahaja ibu bapa mereka menjemput anak mereka di sekolah,” katanya.

Noor Azhar berkata, pelajar berkenaan akan diberikan kaunseling supaya dapat mengenal pasti masalah sebenar mengakibatkan mereka terbabit dengan gejala ponteng.

Beliau berkata, pihaknya mahu memberi mesej kepada pelajar bahawa agensi yang terbabit ini sentiasa memantau pergerakan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 6:30 PM
PELAJAR yang ditahan kerana ponteng sekolah dibawa ke Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Klang untuk menjalani saringan awal air kencing oleh AADK Daerah Klang dalam Program Pencegahan Ponteng Sekolah Zon Utara Daerah Klang, hari ini. FOTO Faiz Anuar.