KENDERAAN yang membawa anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz tiba di Ibu Pejabat SPRM. Foto NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
Suhaila Shahrul Annuar


ANAK tiri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 9.50 pagi, hari ini, bagi menyambung memberi keterangan berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Riza hadir ke SPRM untuk kali keempat hari ini bagi memberi keterangan kepada suruhanjaya berkenaan.

Turut kelihatan masuk ke perkarangan Ibu Pejabat SPRM di sini, adalah peguamnya, Datuk K Kumaraendran.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Red Granite Pictures iaitu syarikat penerbitan filem Hollywood dikehendaki hadir oleh SPRM sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan skandal berkenaan.

Semalam, Riza memberi keterangan kira-kira tujuh jam kepada SPRM.

Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa sejumlah AS$64 juta diselewengkan daripada 1MDB telah dipindah kepada Red Granite untuk membiayai penerbitan beberapa filem Hollywood termasuk The Wolf Of Wall Street yang dibintangi Leonardo Dicaprio.

Sebelum ini, Pasukan Petugas Khas 1MDB membekukan lebih 408 akaun termasuk akaun UMNO negeri dan pusat membabitkan jumlah RM1.1 bilion bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung dakwaan bahawa akaun-akaun berkenaan menerima dana daripada 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 10:22 AM