SEBAHAGIAN dadah yang dirampas di rumah pasangan suami isteri di FELDA Sungai Tekam Utara. Foto STR SHAHRUL NIZAM MOHAMAD
Shahrul Nizam Mohamad


SUAMI isteri yang hidup bergantung dengan hasil menjual dadah ditahan polis di rumahnya di FELDA Sungai Tekam Utara, Jerantut, semalam.

Pasangan itu ditahan dalam serbuan pada 10.40 pagi yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jerantut selepas menerima maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, ketika serbuan pasangan terbabit yang berusia 38 dan 34 tahun sedang berehat dalam rumah dan gagal melarikan diri kerana dikepung polis.

"Pemeriksaan menemui serbuk dipercayai dadah jenis heroin seberat 61.98 gram diikuti syabu (10.10gram), pil eramin 5 (0.24gram) serta pil kuda (0.29 gram), dianggarkan bernilai RM7,500 dan dibawa masuk dari negeri jiran.

"Kita turut merampas motosikal jenis Yamaha Lagenda bersama wang tunai berjumlah RM579 hasil daripada penjualan dadah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai aktif dalam pengedaran dadah di sekitar FELDA Sungai Tekam Utara sejak dua bulan lalu.

"Lelaki terbabit tidak bekerja dan mempunyai empat rekod lampau termasuk tiga kes dadah," katanya.

Katanya, suspek lelaki juga positif methamphetamine manakala isterinya negatif dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Kedua-duanya ditahan reman dua minggu bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 12:56 PM