ZAKIR Naik. FOTO arkib NSTP
Muhamaad Razis Ismail


PAS menyambut baik keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang membenarkan penceramah bebas terkemuka Dr Zakir Naik terus berada di negara ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah Perdana Menteri itu bukti tanggungjawab kerajaan untuk membela dan mempertahankan maruah Zakir sebagai pemastautin tetap.

“Kenyataan tegas Perdana Menteri mempertahankan beliau (Zakir) adalah satu langkah tepat selaras dengan dasar Islam melindungi umatnya daripada menjadi mangsa penganiayaan dan kezaliman di mana sahaja.

“PAS merakamkan ucapan tahniah di atas tindakan Perdana Menteri yang membenarkan Zakir untuk terus berada di Malaysia sebagai warga pemastautin tetap daripada dihantar kembali ke India bagi menghadapi pelbagai tuduhan rekaan kerajaan India,” katanya di Facebook rasminya, hari ini.

Menurutnya, PAS tegas dengan prinsip menyokong dan mendokong segala tindakan makruf yang diambil oleh pihak kerajaan serta menentang kemungkaran dan perpecahan.

“Ini adalah selaras dengan dasar budaya politik matang dan sejahtera serta konsep At-taawun yang diamalkan oleh parti,” katanya.

Akhbar NSTP melaporkan, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan menghantar pulang Zakir Naik ke India selagi penceramah bebas itu tidak membuat sebarang masalah.

Perdana Menteri dipetik berkata, penceramah itu tidak akan dihantar pulang kerana sudah diberikan taraf penduduk tetap negara ini.

Terdahulu, baru-baru ini beberapa portal berita melaporkan pendakwah kontroversi itu akan dihantar pulang ke India.

Bagaimanapun, pihak peguam yang mewakili Zakir kemudian turut menafikan perkara itu dalam satu lagi laporan berita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 2:28 PM