Lim Siew Lin (duduk tengah) beramah mesra dengan penghuni (kiri) dan bayinya sambil diperhatikan Md Azhan (dua dari kiri) di Sekolah Harapan Melaka. FOTO Khairunisah Lokman
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


PENUBUHAN Sekolah Harapan Melaka mencapai matlamatnya dalam usaha menangani gejala gadis mengandung anak luar nikah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Md Azhan Samat berkata, pencapaian itu berdasarkan rekod tiada penghuni yang kembali ke sekolah berkenaan selepas bersalin, sekali gus menandakan kejayaan program bimbingan dan kemahiran di pusat berkenaan.

“Penubuhan sekolah ini bukan sahaja memberi perlindungan tetapi untuk memberi peluang kepada remaja perempuan yang terlanjur untuk kembali ke pangkal jalan.

“Sejak penubuhan Sekolah Harapan, kes pembuangan bayi juga dilaporkan menurun kerana masyarakat sudah mengetahui saluran yang betul bagi menyelesaikan masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Motivasi dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Sekolah Harapan Melaka yang dirasmikan EXCO Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Ginie Lim Siew Lin, di Jasin, hari ini.

Md Azhan berkata, penekanan yang diberikan di Sekolah Harapan Melaka membabitkan aspek keagamaan, akademik dan kemahiran.

Katanya, kebanyakan penghuni yang dimasukkan ke sekolah berkenaan adalah mangsa rogol, pelajar yang mengandung luar nikah dan melakukan hubungan seks secara sukarela.

“Sejak ditubuhkan seramai 331 bayi dilahirkan dan dari jumlah itu seramai 186 lelaki dan 145 perempuan. Persepsi masyarakat sekarang sudah berubah apabila nasib gadis yang terlanjur tidak lagi diabaikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 5:55 PM