TIUPAN angin kencang mengganggu kelancaran pasukan pemadam melaksanakan kerja pemadaman kebakaran tangki minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company (KBC) di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Chukai, yang masuk hari ketiga, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Sharikam Bustaman berkata, angin kuat menyulitkan kerja-kerja pancutan air ke kawasan yang terbakar.

Beliau berkata, selain itu, keadaan asap semakin tebal melemaskan anggota pemadam sehingga mereka terpaksa memakai topeng keselamatan.

Menurutnya, keadaan cuaca panas serta berdepan dengan asap tebal kebakaran yang bercampur dengan bahan kimia dan klorin boleh membahayakan anggota bomba, sekali gus menyulitkan kerja pemadaman api.

“Keadaan ini menyebabkan anggota kami menjadi cepat letih dan terpaksa bergilir syif lebih kerap dari empat jam kepada dua jam.

“Kami tidak mahu seramai 200 anggota pemadam kami berdepan risiko lemas serta berlaku kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, setakat 3.45 petang hari ini, pasukannya masih giat memadam baki 30 peratus tangki ketiga yang masih terbakar.

Menurutnya, tangki pertama dan kedua padam sepenuhnya pada 6.45 pagi hari ini memandangkan keadaan cuaca dan asap yang kurang, memudahkan kerja mereka.

“Tumpuan kini untuk berjuang habis-habisan memadam kebakaran itu dan kami menjangkakan usaha memadam keseluruhan kebakaran pada tangki ketiga dapat diselesaikan pada lewat malam ini,” katanya.

Dalam kejadian 6.15 petang Khamis lalu, tiga tangki simpanan 20,000 liter padu minyak mentah musnah terbakar.

Kebakaran itu menyebabkan kawasan sekitar kilang terbabit dipenuhi asap hitam yang tebal.

Kejadian kebakaran yang disifatkan terbesar dalam sejarah di Terengganu turut menyebabkan seorang pekerja kontrak, Rosli Muhamad, 42, melecur di bahagian muka dan tangan kanannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 7:01 PM
SHARIKAN (kanan) memberi penerangan kepada anggota pada hari ketiga operasi memadam kebakaran tiga tangki simpanan minyak mentah milik KBC di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Chukai, hari ini. FOTO Rozainah Zakaria.