Mohd Iskandar Ibrahim dan Nor Ain Mohamed Radhi

SEMUA pihak perlu patuh kepada peruntukan Akta Ekstradisi 1992 (Akta 479) yang memberi ruang kepada pesalah buruan mendapat keadilan sewajarnya berdasarkan elemen undang-undang.

Pengerusi Hak Asasi dan Hubungan Antarabangsa Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Datuk Hazizah Kassim berkata, walaupun Malaysia ada perjanjian ekstradisi dengan mana-mana negara, Akta 479 tetap terpakai.

“Dalam isu membabitkan penceramah bebas, Dr Zakir Naik, pihak tertentu tidak boleh sewenang-wenangnya mendesak kerajaan supaya menghantar beliau pulang ke negara asalnya.

“Ini kerana Akta 479 terpakai ke atas Zakir. Mengikut Seksyen 47 akta itu, memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk melepas pesalah buruan kerana permohonan pemulangan orang buruan perlu dibuat dengan suci hati dan bukan untuk kepentingan politik semata-mata,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan beberapa pihak supaya kerajaan menghormati perjanjian ekstradisi dengan India dan menghantar pulang Zakir ke negara berkenaan.

Mengulas lanjut, Hazizah berkata, berdasarkan Akta 479, pesalah buruan diberi ruang mencabar proses ekstradisi terbabit di mahkamah.

“Proses ekstradisi ini bukan dibuat secara automatik sebaliknya perlu patuh kepada undang-undang yang diperuntukkan dan pesalah buruan masih ada ruang berdasarkan undang-undang

“Zakir mempunyai taraf penduduk tetap negara ini dan selagi beliau berkelakuan baik dan tidak melakukan jenayah, beliau berhak mendapat keadilan sewajarnya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mengingatkan kerajaan supaya menghormati perjanjian ekstradisi dengan India yang ditandatangani pada 2010.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Zakir tidak akan dihantar pulang selagi beliau tidak menimbulkan masalah selain sudah diberikan taraf penduduk tetap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 7:37 PM