KAMAROZAMAN. FOTO Arkib NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PELBAGAI pihak menuntut kajian teliti dibuat sebelum sebarang pengiktirafan diberikan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), kerana dikhuatiri menimbulkan kecelaruan terhadap sistem pendidikan negara.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd Razak menegaskan yang sistem pendidikan negara hanya mempunyai satu dasar, berdasarkan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan tiada sebab untuk kerajaan mengiktiraf sijil baru yang jelas membelakangkan sistem sedia ada.

“Dasar pendidikan hari ini adalah untuk membina negara serta membentuk rakyat Malaysia. Antara caranya adalah menerusi penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar.

“Jika dasar itu celaru dan berbelah bahagi, pada masa depan dikhuatiri rakyat berlainan kaum akan semakin berjauhan antara satu sama lain. Justeru itu, untuk mengiktiraf sijil luar seperti UEC ini, ia perlu mengikut Perlembagaan serta peruntukan dasar sedia ada, ” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Teo Nie Ching, yang dilaporkan berkata, mahu isu pengiktirafan UEC diselesaikan sebelum hujung tahun ini.

Teo berkata, adalah menjadi matlamat beliau supaya pengiktirafan UEC dibuat secepat mungkin kerana isu itu tidak perlu dibawa ke Parlimen, memandangkan kerajaan sebelum ini memberi pengiktirafan kepada sijil A-level tanpa melalui perbahasan di Dewan Rakyat.

Pengiktirafan UEC yang menjadi isu hangat itu adalah antara manifesto Pakatan Harapan ketika berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu,

Kamarozaman berkata, kerajaan perlu melakukan kajian teliti dan jangan tergesa-gesa mengiktiraf UEC hanya semata-mata untuk memenuhi desakan politik.

Beliau berkata, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk kemasukan ke universiti, umpamanya adalah terbaik dan diiktiraf peringkat antarabangsa, jadi tiada sebab mengapa kerajaan perlu mengiktiraf sijil luar.

“Ke mana hala tuju UEC ini kelak? Sistem pendidikan negara tidak seharusnya dipolitikkan hanya untuk memenuhi kepentingan pihak tertentu sahaja.

“Sebaliknya ia perlu dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh kerana kelak memberi kesan besar kepada rakyat Malaysia.,” katanya.

Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, menyifatkan pengiktirafan UEC dibimbangi memberi ruang kepada pihak tertentu menuntut supaya sijil luar lain turut diiktiraf kerajaan.

“Ia bagaikan pengkhianatan kepada rakyat termasuk pelajar Cina yang selama ini setia mengikuti sistem pendidikan negara sedia ada dan secara tidak langsung turut menjejaskan peluang mereka untuk ke universiti kerana terpaksa bersaing dengan lepasan UEC,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 6:24 PM