ANGGOTA APM memberi rawatan awal kepada lelaki warga emas yang  parah ditikam lelaki lain di restoran di King Centre di Kuching, tengah hari semalam. FOTO ihsan APM.
ANGGOTA APM memberi rawatan awal kepada lelaki warga emas yang parah ditikam lelaki lain di restoran di King Centre di Kuching, tengah hari semalam. FOTO ihsan APM.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


LELAKI warga emas yang sedang menjamu selera parah ditikam lelaki lain di restoran di King Centre, Kuching, tengah hari semalam.

Dalam kejadian 12.40 tengah hari itu, mangsa berusia 73 tahun parah di bahagian perut dan jari selepas ditikam menggunakan pisau.

Menurut sumber, sebelum kejadian mangsa makan tengah hari bersama anak lelakinya di restoran berkenaan.

Katanya, selepas beberapa minit menjamu selera, datang seorang lelaki yang tidak dikenali terus menikam mangsa.

“Suspek membawa pisau dan menikam mangsa dan pergelutan antara mereka menyebabkan lelaki warga emas itu parah di perut selain luka di jari tangan.

“Kejadian itu menyebabkan suasana restoran huru-hara, namun ada beberapa pelanggan bergelut menahan suspek,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan sebelum diserahkan kepada polis manakala anak lelaki mangsa membuat laporan di Balai Polis Simpang Tiga untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut berhubung motif kejadian giat dijalankan.

Dalam pada itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuching dipanggil ke lokasi kejadian untuk memberi rawatan awal kepada mangsa.

Jurucakapnya berkata, mangsa yang parah dikejarkan ke Zon Merah Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 9:46 AM