PIL kuda yang dirampas daripada pengedar dadah berusia 21 tahun.
Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Seorang lelaki ditahan bersama 1,000 pil kuda bernilai RM15,000 di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada jam 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis melakukan intipan dan menemui suspek berjalan di lorong dekat kampung itu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, suspek cuba melarikan diri ketika dihampiri, tetapi berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

“Pemeriksaan dalam plastik yang dibawanya menemui lima paket kecil mengandungi 1,000 pil disyaki pil kuda bernilai RM15,000.

“Suspek bersama barang kes dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, semalam.

Ismail berkata, suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan termasuk mengenal pasti sumber bekalan itu.

“Ujian saringan yang dilakukan ke atasnya dapati dia negatif dadah dan dipercayai baru aktif mengedar pil terbabit sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 11:29 AM