MOHD Rani (kiri) berbual dengan Lan pada Program Terapi Keluarga @ ODS Jalinan Aidilfitri 2018 di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Batu 10, Kuantan, hari ini. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


HUKUMAN penjara 10 tahun dan 10 sebatan menukar kehidupan seorang pemuda yang melakukan samun bersenjata secara berkumpulan, sembilan tahun lalu,

Lan, 31, (bukan nama sebenar) berkata, pada usia 14 tahun dia mula terbabit dengan kegiatan penagihan dadah sebelum bertindak lebih berani dengan melakukan rompakan.

Katanya, kemahiran serta perancangan terbaik dilakukan membolehkannya terlepas perangkap pihak berkuasa setiap kali melakukan kegiatan mengedar dadah dan merompak di beberapa daerah di Kelantan.

“Namun, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah, kejayaan melarikan dua dulang emas bernilai RM300,000 dalam rompakan bersenjata di kedai emas pada 2009, menjadi detik terakhir apabila saya tumpas dan menerima hukuman.

“Kemalangan ketika melarikan diri menjadi penutup segala kegiatan jahat dilakukan apabila saya dan seorang rakan ditangkap polis dan hasil rompakan tidak sempat dibelanjakan,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Lan ditemui pada Program Terapi Keluarga @ Orang Diselia (ODS) Jalinan Aidilfitri 2018 di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Batu 10, Kuantan, hari ini.

Program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pahang dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia memberi peluang kepada 25 ODS bertemu dan makan bersama ahli keluarga masing-masing, selain turut diadakan bual bicara, ekspresi dirimu kesayanganku dan refleksi diri.

Lan yang berasal dari Besut, Terengganu berkata, selepas selesai menjalani hukuman dua tahun lalu, dia kini terbabit sepenuh masa dengan perniagaan pakaian dan menjual kenderaan terpakai serta menyediakan perkhidmatan urutan refleksologi di Johor.

“Hukuman penjara dan sebatan diterima menjadi pengajaran berguna hingga mengubah kehidupan saya yang sebelum ini seorang penjenayah menjadi insan berguna kepada keluarga.

“Saya mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga, sejarah hitam yang dilalui sebelum ini berjaya mengubah segalanya,” katanya yang bersyukur dengan peluang kedua diterima.

Sementara itu Komandan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Batu 10, Penolong Penguasa Penjara Mohd Rani Zakaria berkata, kejayaan Lan dalam bidang perniagaan perlu menjadi contoh kepada semua ODS.

“Imej pesalah pernah dilalui sebelum ini tidak seharusnya menggelapkan masa depan golongan terbabit, sebaliknya mereka perlu bangkit mengubah masa hadapan demi keluarga dan diri sendiri.

“Mereka perlu berusaha menjauhkan diri daripada rakan yang sebelum ini terbabit dengan aktiviti seperti menagih dadah dan jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 7:16 PM