SUSPEK ditahan selepas meragut. FOTO Ihsan Facebook JB Tracer
Mohd Sabran Md Sani


DUA lelaki yang baharu meragut telefon bimbit pelajar perempuan ditahan orang awam ketika cuba melarikan diri dengan motosikal di Jalan Makmur 2, Taman Damai Jaya, Johor Bahru, hari ini.

Pada kejadian 12.15 tengah hari itu, suspek ditahan selepas motosikal dinaiki mereka terbabas.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, sebelum itu, suspek dipercayai meragut seorang pelajar perempuan yang menunggu bas di simpang Jalan Makmur Taman Damai Jaya.

Beliau berkata, ketika kejadian, dua lelaki yang menaiki motosikal berpura-pura bertanyakan sesuatu sebelum salah seorang daripada mereka merampas telefon bimbit milik mangsa.

“Bagaimanapun, kejadian disedari oleh orang awam sebelum mereka bertindak mengejar suspek, dengan kereta.

“Motosikal dinaiki suspek kemudian terbabas kira-kira 200 meter dari situ, sebelum kedua-duanya ditahan oleh orang awam, “ katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, orang awam kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.

“Polis yang tiba tidak lama kemudian memberkas suspek,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 7:36 PM