Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan lelaki tempatan dan tiga wanita warga Vietnam bersama 12 kilogram serbuk ekstasi, 80 pil ekstasi, 90 pil eramin 5 dan dadah jenis ketamin seberat lebih tujuh gram yang dianggarkan bernilai RM1.06 juta di kondominium di Jalan Galloway, Kuala Lumpur, 5 Julai lalu.

Dalam operasi pada 7.20 malam itu, keempat-empat suspek berusia 23 hingga 35 tahun itu ditahan ketika sedang sibuk membungkus dadah ke dalam paket minuman.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pemeriksaan di dalam kondominium itu menemui puluhan serbuk dadah yang diletakkan dalam paket minuman berperisa limau.

"Pemeriksaan lanjut terhadap paket minuman berkenaan mendapati terdapat serbuk dadah daripada campuran ekstasi, eramin 5 dan ketamin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan orang tengah untuk memasarkan bekalan dadah itu kepada pusat hiburan di sekitar ibu kota ini.

"Sindiket ini yang dipercayai sudah aktif sejak enam bulan lalu menggunakan orang tengah dan mengupah individu yang tidak terbabit dengan dadah untuk membuat kerja-kerja pembungkusan.

"Hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan terhadap keempat-empat suspek terbabit mendapati mereka negatif dadah.

"Jumlah dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 40,000 pengunjung pusat hiburan," katanya.


DADAH yang dirampas ketika operasi khas polis di Jalan Galloway, Kuala Lumpur. FOTO Saddam Yusoff

Beliau berkata, semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 6 hingga 12 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kami sedang giat mengesan sindiket aktif melakukan kegiatan membabitkan dadah termasuk premis hiburan yang membekalkan dadah.

"Sehingga kini, kami sudah memohon kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menutup tiga premis hiburan yang didapati terbabit dengan kegiatan dadah.

"Orang ramai yang mengunjungi pusat hiburan dinasihatkan supaya berhati-hati supaya tidak terperangkap dengan pengambilan dadah itu yang dicampur di dalam minuman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 7:43 PM
MAZLAN menunjukkan dadah yang dirampas ketika operasi khas polis di Jalan Galloway, Kuala Lumpur. FOTO Saddam Yusoff