Zaid Salim
cnews@nstp.com.my


HANYA dalam tempoh enam bulan tahun ini, 49 bot milik nelayan Vietnam membabitkan nilai rampasan RM50.5 juta sudah dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri kerana menceroboh perairan Terengganu.

Bagaimanapun, nelayan dari negara itu ternyata tidak serik apabila tetap melakukan pencerobohan bagi mencuri hasil laut negara.

Terbaru, APMM menahan dan merampas dua bot nelayan Vietnam yang ditahan agensi berkenaan, kelmarin.

Kedua-dua bot berkenaan yang antaranya membawa muatan kira-kira satu tan sotong kering, ditahan ketika sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda dua bot (tunda ganding) di lokasi 33 dan 39 batu nautika, masing-masing pada 7.41 dan 8.30 malam.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, pencerobohan bot nelayan asing Vietnam itu dikesan berada pada kedudukan 30 batu nautika oleh kapal maritim yang sedang melakukan rondaan Ops Perkasa Timur dan Ops Marikh di perairan negeri ini.

“Sebaik menyedari kehadiran kami, mereka memotong tali pukat dan cuba melarikan diri sebelum kapal maritim berjaya menahan mereka,” katanya pada sidang media di Pejabat Daerah Maritim 9 (DM9) di Kuala Terengganu, hari ini.

Rahim berkata, pihaknya menahan 21 nelayan Vietnam termasuk dua tekong berusia antara 18 hingga 60 tahun kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja sah.

Beliau berkata, bot pertama dinaiki 16 awak-awak termasuk tekong ditahan di kedudukan 39 batu nautika pada 7.41 malam manakala bot kedua ditahan pada 8.30 malam di kedudukan 33 batu nautika.

“Hasil pemeriksaan, kami merampas 1,000 kilogram (kg) ikan campur, 1,000kg ikan baja dan 2,000kg sotong kering serta 5,000 liter diesel daripada bot pertama.

“Bagi bot kedua pula, kami merampas 50kg sotong kering dan diesel,” katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan membabitkan hasil laut, bot dan peralatan menangkap ikan ialah RM 2.4 juta.

Katanya, sotong kering memberi pulangan lumayan kepada nelayan terbabit berikutan ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk negara berkenaan.

“Sotong segar yang ditangkap dikeringkan di bawah cahaya matahari dan ruang enjin bot.

“Perairan negeri ini yang memiliki ikan dan sotong berkualiti tinggi menyebabkan ia menjadi lokasi sasaran nelayan Vietnam untuk melakukan pencerobohan,” katanya.

Beliau berkata, bermula Januari hingga Jun tahun ini, pihaknya menahan 49 bot nelayan Vietnam dengan nilai rampasan membabitkan bot, hasil laut dan peralatan menangkap ikan sebanyak RM50.5 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 8:01 PM
RAHIM (dua kanan) menunjukkan sotong dikeringkan nelayan Vietnam dalam tangkapan dua bot ketika menangkap ikan menggunakan pukat tunda dua bot (tunda ganding) pada sidang media di Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Imran Makhzan.