SYED Saddiq. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

BIRO Tatanegara (BTN) akan dimansuhkan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.

“Kita tidak mahu BTN, ia akan dimansuhkan,” katanya pada forum bertajuk ‘Perubahan Landskap Politik dan Aspirasi Belia’ di Sunway University, Kuala Lumpur.

Syed Saddiq berkata demikian bagi mengulas langkah kerajaan untuk menutup BTN yang dikecam pihak tertentu sejak beberapa tahun lalu kerana mendakwa biro itu digunakan untuk memupuk doktrin perkauman serta ketaksuban dan hanya menguntungkan tuan politiknya.

Menyentuh mengenai perkara lain, Ahli Parlimen Muar itu berkata beliau komited terhadap cadangan usia layak mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Saya komited untuk menjadikannya suatu kenyataan dalam penggal pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sekarang.

“Kita tidak boleh memandang rendah kebijaksanaan mereka berusia 18 tahun dan menilai lebih tinggi kebijaksanaan mereka berusia lebih 50 tahun,” katanya.

Syed Saddiq berkata, sebaik sahaja PH membuat pengumuman bahawa mereka yang berusia 18 tahun layak mengundi, insentif besar akan diberi kepada parti politik supaya mereka mendampingi kumpulan itu.

“Minda pengundi muda adalah lebih terbuka, mereka juga terbuka kepada dialog dan forum serta berminat dengan Malaysia yang pelbagai kaum,” katanya. .

Bagaimanapun, katanya konsep memperkenalkan identiti Malaysia dalam kalangan orang muda tidak akan tercapai sekiranya tiada pembaharuan institusi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 10:03 PM