TUN Dr Mahathir (dua dari kiri) ketika sidang media selepas Program Taklimat Governans, Integriti dan Antirasuah bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Parlimen di Bangunan SPRM, Putrajaya. -Foto MOHD FADLI HAMZAH
Azura Abas; Syed Umar Arif; Irwan Shafrizan Ismail dan Fairul Asmaini Mohd Pilus


KERAJAAN akan mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat keputusan mengenai isu penceramah bebas, Dr Zakir Naik, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak akan bersetuju dengan mudah terhadap sebarang desakan sebelum meneliti dengan lebih lanjut berkaitan isu Zakir.

“Kita tidak akan dengan mudah dipengaruhi desakan pihak lain, kita perlu melihat semua elemen sebelum memberi maklum balas terhadap desakan yang dibuat.

“Jika tidak, seseorang akan menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program sehari Taklimat Governans, Integriti dan Anti Rasuah di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata tiada tindakan akan dilakukan untuk menghantar Zakir pulang ke India.

“Di pihak PDRM, kita tidak ada apa-apa tindakan untuk hantar dia balik ke India dalam masa terdekat, kecuali ada agensi lain, saya tidak pasti, tetapi setakat saya tahu, tiada tindakan menghantar dia pulang ke India dalam tempoh ini,” katanya.

Baru-baru ini ,beberapa portal berita melaporkan Zakir akan diekstradisi ke India, namun pihak peguam yang mewakili penceramah itu menafikan perkara berkenaan.

Zakir meninggalkan India sejak 2016 selepas beliau didakwa kononnya terbabit dengan kegiatan mempromosi aktiviti keganasan di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 11:50 AM