BOMBA membantu mengangkat mayat lelaki berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA membantu mengangkat mayat lelaki berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Fahmi Mohd Yusof


PENDUDUK Kampung Jaya Sepakat, Senai, Kulai, dikejutkan dengan penemuan mayat lelaki terapung di sungai berhampiran landasan kereta api di kampung itu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, orang awam menemui mayat berkenaan sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1 petang sebelum anggotanya bergegas ke lokasi.

Katanya, pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor turut dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga dimaklumkan bagi membantu mengeluarkan mayat di dalam sungai berkenaan dan fakta penuh mengenai kes akan menyusul selepas siasatan tempat kejadian selesai dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dzulkhairi berkata, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada kes itu berkaitan kejadian bunuh dan pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kulai, Soleh Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan polis jam 2.11 petang sebelum sebuah jentera dengan sembilan anggota ke lokasi kejadian.

“Satu mayat lelaki tanpa sebarang dokumen pengenalan diri diangkat ke tebing sebelum diserahkan kepada polis dan operasi tamat jam 3.39 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 6:30 PM