LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Mohd Fahmi Mohd Yusof


POLIS mengesahkan mayat lelaki terapung dalam sungai berhampiran landasan kereta api di Kampung Jaya Sepakat, Senai di Kulai, dipercayai dibunuh sejak kira-kira seminggu sebelum mayatnya dicampak ke sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, setakat ini, identiti mangsa belum dikenal pasti tetapi pihaknya mengesan terdapat tatu burung merak yang sudah tidak jelas di bahagian lengan tangan kanan mayat berkenaan.

Katanya, terdapat juga kesan lubang kecederaan pada belakang badan dan tangan kiri mangsa.

Bagaimanapun, pihaknya masih tidak dapat mengesahkan kecederaan itu sehingga bedah siasat dijalankan.

“Tiada sebarang dokumen diri ditemui pada mayat mangsa yang tidak berbaju itu selain terdapat kesan ikat pada kedua-dua kaki mangsa dengan bahan getah.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dzulkhairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, orang awam menemui mayat berkenaan sebelum menghubungi polis.

Mayat mangsa ditemui orang awam yang datang ke kawasan sungai berkenaan untuk memancing.

Difahamkan, ketika ditemui, mayat dalam keadaan terapung serta terlingkup.

Berita berkaitan

Tanda tanya mayat terapung di sungai

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 7:18 PM