ANGGOTA PERHILITAN menggunakan Abot (kanan) dan Rambai (kiri) untuk memujuk gajah liar yang ditangkap di Kampung Parit Mungkal.

Kuala Pilah: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri memindahkan dua anak gajah betina dan ibunya selepas haiwan itu merosakkan tanaman di Kampung Parit Mungkal, Tanjung Ipoh, dekat sini, semalam.

Pengarahnya, Wan Mat Wan Harun berkata, operasi pemindahan gajah betina seberat tiga tan dan anak gajah masing-masing seberat dua dan satu tan itu dilakukan dengan bantuan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Katanya, 30 anggota PERHILITAN terbabit dalam operasi selama tiga jam bermula jam 9 pagi itu.

“Kami menggunakan dua gajah betina dikenali sebagai Abot dan Rambai yang bertindak sebagai denak bagi menjinakkan gajah liar terbabit untuk dipindahkan ke Taman Negara Pahang,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pada pertengahan Ramadan lalu pihaknya menerima aduan penduduk di kawasan berkenaan berhubung gajah liar yang merosakkan tanaman seperti pisang dan anak pokok getah.

“Hasil siasatan dan kawalan yang dibuat, kami melaksanakan operasi menjejaki pada 3 Julai lalu dan tiga gajah itu ditangkap pada Jumaat lalu dalam ladang sawit di kampung berkenaan.

“Saya tidak menolak kemungkinan masih terdapat lagi kumpulan gajah liar yang berkeliaran dalam hutan berhampiran termasuk hutan Tengkek, Berembun, Pelangai, Teriang serta Temasuh di Pahang membabitkan keluasan sekitar 200 kilometer persegi,” katanya.

Operasi pemindahan diketuai Timbalan Ketua Unit Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Mohd Khairul Adha Mat Amin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar Negeri Ismail Ahmad berkata, tindak balas pantas daripada PERHILITAN diharap dapat meminimumkan kesan kemusnahan hasil petani di kawasan berkenaan serta yang berhampiran.

“Difahamkan masih ada kumpulan gajah liar yang belum ditangkap dan PERHILITAN memberi jaminan untuk melakukan pemantauan berterusan di kawasan terbabit,” katanya.

Operasi turut disertai Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 11:04 AM