Hadzlihady Hassan


“SAYA jadi panik dan terus tekan pedal minyak,” kata S Nesamani, 44, pemandu wanita yang keretanya merempuh masuk kedai kosong di Jalan Penang, Georgetown, hari ini.

Menurutnya, dia terlalu takut apabila melihat seorang lelaki yang memandu kereta memberi isyarat tangan selepas kenderaan mereka bergesel hingga menyebabkan dia tertekan pedal minyak.

“Ketika kejadian, saya memandu di laluan paling kanan dan mahu membelok, namun secara tiba-tiba sebuah kereta dipandu seorang lelaki datang dari kiri jalan arah sama dan terus masuk ke laluan saya.

“Tindakannya itu menyebabkan bahagian belakang keretanya bergesel dengan hadapan kereta saya dan saya berhenti seketika untuk berbincang di tepi jalan,” katanya.

Wanita yang bekerja sebagai pengurus khidmat pelanggan di pasar raya itu berkata, lelaki terbabit menunjukkan amaran menggunakan tangan membuatkan dia takut dan terus menjadi panik hingga menyebabkan dia tertekan pedal minyak dan keretanya meluru masuk ke kedai kosong.

“Saya baru beli Perodua Myvi ini kira-kira dua bulan lalu dan hari ini kebetulan saya cuti dan keluar untuk menjelaskan bil air serta elektrik.

“Namun, saya tidak sangka akan berlaku kemalangan ini dan lebih buruk apabila merempuh masuk ke dalam kedai,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana tidak cedera dan kemalangan itu tidak membabitkan nyawa orang lain.

“Saya tidak dapat bayangkan sekiranya kedai berkenaan berpenghuni kerana ia mungkin akan menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya yang masih trauma dengan kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 3:24 PM
NESAMANI melihat keretanya selepas merempuh masuk sebuah kedai kosong di Jalan Penang, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong.
NESAMANI melihat keretanya selepas merempuh masuk sebuah kedai kosong di Jalan Penang, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong.