KAMAL ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


PEGUAM Kamal Hisham Ja’afar didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini selepas mengaku bersalah bagi satu pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah apabila diberi tawaran oleh pihak pendakwaan mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah kemudian dengan persetujuan pihak pendakwaan dan tertuduh mengambil kira keseluruhan 16 pertuduhan lain sebelum menjatuhkan hukuman berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan Kamal Hisham dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Kamal Hisham menghadapi 17 pertuduhan membabitkan pecah amanah, aktiviti pengubahan wang haram dan Akta Syarikat 1965.

Semua kes itu mula dibicarakan pada 8 Januari 2017 selepas tertuduh tidak mengaku bersalah.

Pada 13 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima permohonan maaf daripada Kamal Hisham dan mengampunkannya tanpa apa-apa syarat.

Terdahulu, pada prosiding pagi tadi, barisan pembelaan dan ahli keluarga bekas peguam kepada kerabat Diraja Johor itu kecewa apabila tertuduh tidak dilepas dan dibebaskan mahkamah walaupun sudah mendapat pengampunan Sultan Ibrahim, bulan lalu.

Ia berikutan apa yang dibincangkan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum prosiding berlangsung tidak berjalan seperti dipersetujui.

Mahkamah kemudian memutuskan perbicaraan bela diri yang dijadualkan berlangsung hari ini dan esok diteruskan, sementara pihak pembelaan meneruskan usaha untuk menyelesaikan isu pembebasan Kamal Hisham, termasuk bertemu Peguam Negara, Tommy Thomas. Bagaimanapun, ketika prosiding perbicaraan bela diri dimulakan pada sesi petang, Kamal Hisham memilih untuk mengaku salah bagi pertuduhan alternatif untuk pertuduhan kedua.

Berdasarkan kertas pertuduhan itu, tertuduh yang berusia 48 tahun itu menggunakan kedudukannya sebagai Pengarah Syarikat Southern Ads Sdn Bhd untuk menyewakan ruang perniagaan di JB Sentral kepada sebuah syarikat yang mana dia adalah pengarah dan pemegang saham syarikat dan kemudian menyewakan semula ruang perniagaan itu kepada sebuah syarikat lain untuk mendapatkan keuntungan secara langsung.

Bagi perbuatan yang dilakukan antara 7 Ogos 2009 dan 31 Julai 2011 itu, dia didakwa mengikut Seksyen 132(2)(c) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 132(3)(b) akta sama yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda RM30,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan barisan Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron, Zhafran Rahim Hamzah, Shukor Abu Bakar dan Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Afif Abdullah.

Kamal Hisham diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali, Mohd Khairul Azam Abd Aziz dan Hasan Karim.

Kira-kira jam 4 petang tadi, Kamal Hisham yang ditemani ahli keluarganya bebas daripada tahanan selepas menjelaskan bayaran denda RM30,000 itu di kaunter Kompleks Mahkamah di sini.

Kamal Hisham sebelum ini tidak dibenarkan ikat jamin dan berada dalam tahanan selepas ditangkap di Singapura pada 2 September 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 6:58 PM