AHMAD Maarop (kiri) dan Wong. FOTO Ihsan http://www.kehakiman.gov.my
Murni Wan Omar
murni@nstp.com.my


TAN Sri Ahmad Maarop dan Datuk David Wong Dak Wah masing-masing bakal mengangkat sumpah sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Sabah Sarawak di Istana Kehakiman di Putrajaya, petang ini.

Majlis dijangka dimulakan dengan bacaan latar belakang Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum dan diikuti angkat sumpah jawatan dan taat setia oleh Hakim Ahmad dan Hakim Wong.

Pelantikan baru itu adalah berikutan peletakan jawatan Tun Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin pula berundur sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Md Raus dan Zulkefli meletakkan kedua-dua jawatan mereka selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, pada 8 Jun lalu.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kenyataannya sebelum ini berkata, Md Raus dan Zulkefli dimaklumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan itu pada 7 Jun lalu, selain peletakan berkenaan akan mula berkuat kuasa pada 31 Julai ini.

Bagaimanapun, ia berkuat kuasa semalam secara serta-merta selepas Malanjum menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 3:42 PM