JHO Low. FOTO Arkib NSTP
Farhana Syed Nokman
cnews@nstp.com.my


AHLI perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikehendaki berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipercayai memiliki pasport antarabangsa lain.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata Jho Low dipercayai memiliki pasport negara St Kitts and Nevis.

“Kami percaya dia menggunakan pasport terbabit untuk memudahkan pergerakannya. Setakat itu yang boleh saya katakan,” katanya ketika ditemui di Menara Ilham di Kuala Lumpur, hari ini.

Mustafar berkata, beliau sendiri tidak pernah mendengar nama negara berkenaan.

“Saya cuba mencari maklumat mengenai tempat itu dan ia sebenarnya sebuah pulau mempunyai pemandangan yang cantik,” katanya.

St Kitts and Nevis ialah negara kecil di kepulauan Caribbean dan terletak sebagai lokasi membeli pasport.

Dengan harga AS$250,000 (RM1 juta), warga asing boleh membeli warga negara tanpa perlu tinggal di negara berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semalam mengesahkan Jho Low sudah meninggalkan Macau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 6:36 PM