PELAJAR MRSM diambil keluarga masing-masing, susulan kejadian keracunan makanan. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Zahratulhayat Mat Arif dan Balqis Jazimah Zahari
cnews@nstp.com.my


LEBIH 20 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Taiping terpaksa menerima rawatan selepas dipercayai mengalami keracunan makanan malam tadi.

Mereka mengalami gejala sakit perut, cirit-birit dan muntah sebelum dikejarkan ke Hospital Taiping, pada malam tadi dan pagi ini.

Difahamkan, kes keracunan berkenaan dipercayai berpunca daging masak lada hitam dimakan pelajar berkenaan ketika makan malam.

Pihak Hospital Taiping (HT) turut mengambil sampel daripada pelajar terbabit untuk pemeriksaan lanjut dan semua pelajar itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Berikutan itu, kesemua pelajar di MRSM itu diarahkan pulang ke rumah masing-masing, hari ini.

Tinjauan NSTP di MRSM terbabit jam 5.30 petang tadi mendapati ramai pelajar sudah pulang dengan menaiki bas atau dijemput ibu bapa masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan ketika dihubungi berkata pihaknya sudah menerima laporan berhubung kes itu.

“Penyiasatan dan langkah pencegahan sedang diambil.

“Maklumat sebenar jumlah keseluruhan pelajar yang terbabit dan punca keracunan makanan masih belum diperolehi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 6:48 PM