LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Zahratulhayat Mat Arif dan Balqis Jazimah Zahari
cnews@nstp.com.my


SERAMAI 31 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Taiping, terpaksa menerima rawatan selepas dipercayai mengalami keracunan makanan malam tadi.

Mereka mengalami gejala sakit perut, cirit-birit dan muntah sebelum dikejarkan ke Hospital Taiping (HT) sejak malam semalam dan pagi hari ini.

Ada pelajar yang ditemui mendakwa kes keracunan berkenaan dipercayai ada kaitan dengan daging masak lada hitam dimakan pelajar berkenaan ketika makan malam di dewan makan sekolah.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri, Dr K B Venugopalan berkata, semua pelajar dirawat sebagai pesakit luar kecuali seorang pelajar dimasukkan ke wad.

‘Pelajar terbabit dilaporkan stabil dan pihak jabatan Kesihatan Negeri Perak sedang melakukan tindakan penyiasatan dan kawalan secara berterusan.

“Dewan makan sekolah juga diarah tutup untuk penyiasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Seorang pelajar Tingkatan Empat sekolah itu, Mohamad Ammer Johari berkata, pelajar diarahkan pulang sehari lebih awal kerana dewan makan di asrama diarahkan tutup buat sementara waktu.

“Malam tadi (semalam), ramai kawan saya mengadu sakit perut dan cirit birit. Keadaan jadi lebih teruk pagi ini dan ada antara mereka dikejarkan ke hospital.

“Berikutan kejadian ini, warden membuat pengumuman yang kami dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

“Mereka tidak memberi sebarang penjelasan dan kami percaya hal ini ada kena mengena dengan kejadian keracunan makanan kerana pagi tadi saya nampak pihak Jabatan Kesihatan ada datang memeriksa dewan makan terbabit,” katanya.

Tinjauan NSTP di MRSM itu pada jam 5.30 petang, mendapati ramai pelajar sudah pulang dengan menaiki bas atau dijemput ibu bapa masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan ketika dihubungi berkata pihaknya sudah menerima laporan berhubung kes keracunan makanan di MRSM berkenaan.

“Siasatan dan langkah pencegahan sedang diambil,” katanya.

Berita berkaitan

20 pelajar MSRM Taiping keracunan makanan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 7:35 PM