MOHAMAD (dua dari kanan) berbual dengan tetamu termasuk anggota Polis Diraja Thailand yang hadir pada Majlis Jamuan Aidilfitri AKSEM di Dewan Serbaguna AKSEM Bukit Kayu Hitam, hari ini. FOTO Bernama.
Aizat Sharif
cnews@nstp.com.my


ANGGOTA Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang bertugas di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, akan diberikan suntikan vaksin bagi mengelak penularan penyakit berjangkit dari negara jiran.

Ketua Pengarah AKSEM, Datuk Mohamad Ismail, berkata pihaknya menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN), sudah mendapat peruntukkan bagi melaksanakan proses suntikan vaksin ke atas kira-kira 800 anggotanya.

“Kami memang sudah ada peruntukan untuk melaksanakan proses suntikan vaksin selepas ia diputuskan pada mesyuarat tahun lalu.

“Dijangka lebih 800 anggota AKSEM bertugas di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan akan diberikan suntikan vaksin ini secepat mungkin,” katanya selepas menghadiri Majlis Jamuan Aidilfitri AKSEM Kedah di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Turut hadir, Komander AKSEM Kedah, Abd Latiff Abdul Rahman.

Mohamad berkata, anggota AKSEM yang bertugas di pintu masuk negara terdedah kepada risiko dijangkiti penyakit berjangkit dibawa imigran dari negara jiran.

“Sebelum ini, tiada inisiatif seumpama ini dilaksanakan menyebabkan ada anggota jatuh sakit dan meskipun tidak serius, penularan penyakit berjangkit dari negara jiran tetap dipantau dengan kerjasama Jabatan Kesihatan.

“Kami berharap suntikan vaksin dapat diperluaskan kepada agensi lain yang bertugas di sempadan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan lain-lain demi kepentingan kesihatan bersama,” katanya.

Mengulas mengenai isu pertindihan tugas membabitkan AKSEM dan agensi penguatkuasaan lain, beliau menafikan keadaan itu berlaku kerana setiap agensi mempunyai tugas kerja berlainan.

“Jika dilihat pada keanggotaan, saya akui kami tidak mempunyai anggota yang cukup berbanding peningkatan populasi penduduk di kawasan sempadan.

“Namun, kami ada kaedah tertentu dalam memastikan penugasan tetap berjalan lancar dan mantap.

“Kami menjalankan tugas dalam Ops Bersepadu membabitkan agensi lain setiap minggu bagi mencegah penyeludupan imigran serta barangan terutama barangan bersubsidi seperti minyak, gula dan lain-lain lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 8:36 PM