AHMAD Zahid (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji, hari ini. FOTO L Manimaran
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk meraikan mazhab Syiah atau membiarkannya bebas diamal serta disebarkan di negara ini.

Presiden UMNO itu berkata, walaupun pihaknya menghormati pengikut mazhab itu di negara yang mengamalkannya, namun usaha untuk mengasimilasikan fahaman terbabit dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini amat tidak sesuai.

Katanya, usaha meraikan serta membiarkan mazhab itu diamalkan bakal menyebabkan perpecahan lebih teruk dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kita menolak Syiah bukan kerana kita benci, tetapi kita tidak mahu ajaran ini memesongkan umat Islam di Malaysia ini.

“Mana mungkin negara kita yang meletakkan di dalam Perlembagaan (Perkara) 3(1), agama Islam adalah agama Persekutuan, walaupun dalam Perlembagaan tidak sebut, namun amalan kita berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah, ia harus dihormati kerana ia kontrak sosial kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Kesyukuran Meraikan Bakal-Bakal Haji kawasan Parlimen Bagan Datuk di Hutan Melintang, hari ini.

Dalam sidang medianya, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri itu juga memohon semua ulama, cendekiawan, agensi ugama serta badan bukan kerajaan (NGO) menolak sebarang usaha yang dilakukan untuk memesongkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Biarpun apa akan terjadi, biar apa pun sudah terjadi, biarpun apa akan bakal terjadi, kita tidak boleh kompromi melainkan pegangan kita Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Syafie,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 8:54 PM