Azam ketika Majlis Penyerahan Jalur Gemilang bagi menyertai Kejohanan Orienteering Universiti Dunia 2108. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Norzamira Che Noh
cnews@nstp.com.my


UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) menjadi universiti pertama di negara ini yang menghantar atlet ke Kejohanan Orienteering Universiti Dunia di Kuortane, Finland pada 14 hingga 22 Julai ini.

Atlet dan juga pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Azam Mohd Shidid, 25, akan menjadi atlet universiti pertama negara ini menyertai kejohanan yang dianjurkan oleh Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU).

“Saya gembira malah turut berbangga kerana menjadi atlet universiti pertama negara ini yang akan menyertai kejohanan itu kerana bukan sahaja membawa nama UiTM tetapi turut membawa nama negara.

“Orienteering adalah sebahagian daripada sukan lasak yang memerlukan peserta bukan sahaja dengan stamina yang tinggi tetapi mahir dalam membaca peta dan kompas.

“Pada kejohanan itu, peserta akan diberikan peta serta kompas dan dikehendaki melalui kira-kira 23 tempat pemeriksaan yang ditetapkan oleh penganjur,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang di Bangunan Canseleri UiTM, di Shah Alam, hari ini.

Azam yang juga pemegang Malaysia Book of Record Jelajah Solo Berkasut Roda dengan jarak 2,153 kilometer pada tahun 2015 akan menyertai dua daripada lima kategori yang dipertandingkan iaitu Jarak Sederhana (10 kilometer) dan Pecut (5 kilometer).

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohd Said berkata, walaupun penganjuran kejohanan itu sudah memasuki kali yang ke-21 tetapi ia adalah julung kali untuk UiTM menghantar wakil.

“Sebelum ini, kita tiada atlet yang berpotensi untuk sukan berkenaan dan melihat kecemerlangan Azam pada pelbagai siri kejohanan sukan lasak yang disertainya, UiTM melalui Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) mengambil peluang ini.

“Selain itu, terdapat beberapa syarat yang perlu kita ikuti untuk menyertai kejohanan berkenaan iaitu peserta mesti berusia 25 hingga 28 tahun pada tahun penyertaan serta pelajar universiti sepenuh masa.

“Selain menepati syarat yang ditetapkan, Azam juga adalah pemenang untuk Pertandingan Orienteering peringkat Asia untuk dua tahun berturut-turut (2017-2018) justeru kita meletakkan harapan agar beliau sekurang-kurangnya mendapat kedudukan 10 terbaik,” katanya.

Kejohanan berkenaan turut disertai 32 negara lain seperti Australia, Kanada, Sepanyol, Sweden, Jepun, Amerika Syarikat, Romania, Itali dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 9:17 PM