Mohd Iskandar Ibrahim
mohd_iskandar@nstp.com.my


PERSATUAN Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menyelesaikan isu kenaikan harga makanan di restoran nasi kandar.

Presidennya Ayoob Khan Muhamad Yakub berkata, pertemuan itu akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara terbabit.

“PRESMA tidak tahu dari mana KPDNHEP mendapat maklumat 30 peratus kedai mamak dikatakan tidak menurunkan atau menaikkan harga makanan selepas pelaksanaan sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Sejak pelaksanaan sifar peratus GST, lebih 4,000 pengusaha kedai makan yang bernaung di bawah PRESMA sudah menurunkan harga makanan dan minuman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri KPDNHEP Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengenai harga makanan dan minuman turun di premis restoran makanan segera, namun tidak di restoran nasi kandar atau kedai 'mamak' yang masih mengekalkannya, malah ada yang menaikkan harga.

Mengulas lanjut, Ayoob Khan berkata, PRESMA sudah memaklumkan kepada semua pengusaha restoran nasi kandar di bawah naungannya supaya menurunkan harga makanan seiring dengan pelaksanaan sifar peratus GST.

“Saya berharap pengguna yang terkesan (kenaikan harga makanan) supaya membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa supaya tindakan boleh diambil,” katanya.

Berita berkaitan

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/356956/harga-barang-masih-mahal

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 9:19 PM