LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


DUA suspek yang menyimbah asid terhadap seorang lelaki di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, Rabu lalu menggunakan asid pencuci tandas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek berkenaan berusia 40-an menggunakan cecair berkenaan sehingga mencederakan mangsa.

"Mangsa berusia 47 tahun itu mengalami kecederaan melecur 30 peratus di bahagian kanan muka ,kedua-dua tangannya, di bahagian belakang badan dan paha kanan.

"Mangsa kemudiannya telah dibawa oleh orang awam ke Hospital Tung Shin untuk rawatan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, setakat ini pihak polis masih menyiasat punca kejadian.

Pada Rabu lalu, seorang lelaki cedera selepas disimbah asid oleh dua lelaki tidak dikenali.

Kejadian berlaku pada jam 6.30 petang itu, lelaki berkenaan memandu kereta jenis Audi di jalan berkenaan sebelum didatangi dua lelaki motosikal.

Suspek bertindak memecahkan cermin sebuah kereta yang sedang bergerak dan menyimbah cecair dipercayai asid terhadap mangsa, sebelum melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 9:34 PM